BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, November 2, 2010

Pengajian Melayu II- PPISMP SEM. III

Cara-Cara Pemerolehan Bahasa Pertama

Menurut Wilhelm Von Humbolt,seorang sarjana Jerman,bahasa bermaksud satu sintesis daripada bunyi yang dibentuk oleh bentuk luaran dan fikiran yang dibentuk oleh bentuk dalaman. Bahasa pertama ialah bahasa yang mula-mula sekali diperoleh dan dikuasai oleh seseorang sejak dia masih kanak-kanak, iaitu sebelum dia mempelajari sesuatu bahasa asing atau bahasa kedua. Bahasa pertama ini sering juga disebut sebagai bahasa kandung atau bahasa ibunda.

Ada dua pengertian mengenai pemerolehan bahasa. Pertama, pemerolehan bahasa mempunyai permulaan yang mendadak iaitu secara tiba-tiba. Kedua, pemerolehan bahasa memiliki suatu permulaan yang gradual yang muncul dari prestasi-prestasi motorik, sosial, dan kognitif pralinguistik.

Pengetahuan bahasa pertama dikuasai secara tidak formal sejak peringkat awal kanak-kanak, iaitu ketika berusia seawal lapan belas bulan (Hornstein dan Lightfoot 1981; Phiney 19870. Selain itu, proses pemerolehan ini diterima secara tidak langsung melalui ibu bapa,keluarga dan masyarakat sekeliling. Menurut Corder (1973)  penguasaan bahasa pertama merupakan proses dibawah sedar dimana pada saat ia sedang memperoleh kemahiran yang lain serta pengetahuan tentang alam sekitarnya. Kennedy (1973:68) berpendapat bahawa kanak-kanak yang mula memperoleh bahasa pertamanya sentiasa terdedah pada persekitaran linguistik yang lengkap yang mengandungi pelbagai butiran tatabahasa dan leksis orang dewasa, dan kebanyakannya tidak difahami oleh kanak-kanak tersebut.

Peringkat penguasaan bahasa terbahagi kepada dua iaitu peringkat pertama dalam penguasaan fonetik dan peringkat pertama dalam penguasaan makna. Pada peringkat pertama dalam penguasaan fonetik, menangis dianggap sebagai bahasa kanak-kanak kerana mereka belajar mengawal alam sekitar dengan tangisan. Selepas 8 bulan ke atas, mereka mula bermain dengan bunyi , menirunya dan berlatih secara konsisten membunyikan bunyi tersebut. Setelah dapat mengawal alat atrikulasinya pada umur kira-kira 2 tahun, mereka mula belajar mengucap beberapa patah perkataan. Perkembangan perbendaharaan katanya akan berkembang dari semasa ke semasa. Manakala dalam peringkat pertama dalam penguasaan makna, menangis mempunyai makna tertentu kepada kanak-kanak. Semasa mereka meniru bunyian, ibu bapa berperanan memberi makna pada bunyi yang dihasilkan. Selepas itu, mereka sudah boleh mengucapkan perkataan yang mempunyai makna khusus untuk menggambarkan isi hati mereka.

Menurut Clare Painter (1990:24), penguasaan bahasa pertama kanak-kanak melibatkan proses pemindahan awal. Proses ini dapat dijelaskan seperti yang berikut:

The move into mother tongue is characterised first by the introduction of names into the system, and by the development of two tones conveiying two different functional meaning. A small core of vocabulary was freely usable on either tone, allowing the same experiential meaning to be combined with either of two kinds of primitive speech role. Most names however, occured always with same tone; some being restricted to level tone and pragmatic uses, others to falling tone and mathetic uses.

Prinsip-prinsip Pengajaran Bahasa Pertama

i.   Kemahiran bahasa dikuasai secara beransur-ansur

Penguasaan sesuatu kemahiran bahasa di kalangan kanak-kanak berlaku secara beransur-ansur. Mula-mula mereka mengeluarkan bunyi-bunyi, kemudian mencantumkan unit-unit bunyi itu menjadi perkataan dan selepas itu mencantumkan pula perkataan-perkataan itu menjadi ungkapan atau ayat. Kanak-kanak memerhati dan menangkap sebarang kemahiran bahasa itu daripada penutur-penutur lain. Lama-kelamaan mereka akan menjadi mahir dengan sendirinya. Proses kefahaman boleh wujud lebih awal daripada proses melahirkan ucapan.

ii.   Banyak aspek bahasa dikuasai sekaligus

Lazimnya setiap kemahiran bahasa dikuasai dengan cara yang perlahan dan ini membolehkan beberapa aspek bahasa itu dapat dikuasai secara sekaligus.  Bahasa mempunyai banyak rumus dan peraturan dan semuanya ini dikuasai secara serentak. Kanak-kanak  dapat menguasai bunyi, perkataan, pengimbuhan, makna, dan penggunaannya dalam ayat secara sekaligus.

iii.   Kanak-kanak mempelajari menggunakan bahasa tetapi tidak tahu  mengenainya.

Prinsip ini menerangkan bahawa kanak-kanak tidak cuba mengkaji jalan bahasa dalam proses menguasai bahasa tersebut. Mereka belajar menggunakannya. Kanak-kanak tidak diminta menjelaskan kenapa sesuatu ayat itu betul atau salah tetapi mereka perlu tahu betul salahnya. Contohnya dalam aspek tatabahasa, kanak-kanak tidak diminta mengkaji rumus-rumusnya tetapi cukup sekadar menggunakannya dalam ayat-ayat yang betul.

iv.   Kanak-kanak menggunakan bahasa mengikut konteks makna

Kanak-kanak belajar menggunakan bahasa itu dengan memerhati atau mendengar dan kemudiannya menggunakan unsur yang sama dalam keadaan yang serupa bagi memberikan maknanya. Walaupun tidak memahami sistem tatabahasa, tetapi mereka amat mengetahui hubungan perkataan dengan perkataan dalam ayat dan antara ayat dengan ayat yang lain. Mereka menggunakan sesuatu perkataan itu dalam konteks makna, bukannya dalam konteks tatabahasa. Semasa mengajar, guru perlulah mencari konteks makna bagi menjelaskan makna perkataan itu. Pelajar diberi latihan dan latih tubi penggunaan perkataan yang betul.

v.   Kanak-kanak mempunyai kebiasaan sendiri mempelajari bahasa dan   pertuturan.

Kanak-kanak mempelajari pertuturan mengikut kebiasaan tertentu. Kebiasaan ini mungkin kebiasaan seseorang individu atau kumpulan penutur. Mereka mempunyai kumpulan sendiri dan mempunyai tabiat dalam cara bertutur yang tersendiri. Jadi kanak-kanak tidak perlu dihalang mengembangkan kebolehan mereka berbahasa secara tersendiri.

Rumusan

Mempelajari bahasa pertama merupakan salah satu perkembangan menyeluruh kanak-kanak untuk menjadi anggota  kepada sesebuah masyarakat. Hal ini kerana melalui bahasa khusus bahasa pertama (B1), seorang kanak-kanak belajar untuk menjadi anggota masyarakat. Bahasa Pertama menjadi salah satu media untuk mengungkapkan perasaan, keinginan, dan pendirian dalam bentuk-bentuk bahasa yang dianggap ada.

Sistem fikiran yang terdapat pada seorang kanak-kanak dibangun sedikit demi sedikit apabila ada rangsangan dunia sekitarnya sebagai input (iaitu apa yang dilihat, didengar, dan disentuh yang menggambarkan benda, peristiwa dan keadaan sekitar yang mereka alami). Lama-kelamaan pemikirannya akan terbentuk dengan sempurna. Setelah itu sistem bahasanya akan menjadi lengkap dengan perbendaharaan kata dan tatabahasanya turut terbentuk.

            Bahasa awal-awal yang diperoleh oleh kanak-kanak inilah yang dikatakan bahasa pertama mereka iaitu sebelum mereka mempelajari bahasa lain sebaai bahasa kedua atau bahasa asing.

0 comments: